Isnin, 28 Oktober 2019

Kepelikan di Jalan Dakwah

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Ini adalah surat yang menyebutkan kepelikan di institusi agama, atau lebih dikenali kebanyakannya sebagai masjid, pusat islam dan surau


KEPELIKAN DI SURAU-SURAU DAN DI MASJID-MASJID

Pelik. Kenapa ada orang sibuk-sibuk nak menghalang-halang kebaikan melebihi menghalang-halang maksiat?

Berlambak orang berdating, berkonsert, berkaraoke, menari, buat benda-benda lagha benda-benda bodoh,

Tetap yang dihalang adalah orang-orang yang nak berqiam, nak bertadabbur, bertilawah, bermajlis ilmu di surau-surau

Padahal yang diperintah Tuhan itu amar makruf dan nahi mungkar.

Surah Ali Imran ayat 104
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung"

Tapi sibuk nak nahi makruf, yang mungkar pulak boleh tolerate, sampai dalam majlis yang haq, ada diselit perkara batil.

Macam dalam Surah atTaubah ayat 67 perangai orang munafiq menghalang halang kebaikan

"Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik“

Dalam program yang sama ada forum agama, dalam program yang sama ada modern dance. Tapi waktu perasmian doa minta rahmat Tuhan. Tak malu

Surah alBaqarah ayat 42 Allah dah sebut jangan campurkan haq dengan batil. Yang batil tu terlalu kotor untuk dicampurkan dengan perkara yang haq

"Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya“

Sibuk nak buat program benda haq campur dengan batil. Padahal haq tu boleh berdiri sendiri, takpayah nak bergabung dengan benda batil pun. Allah dah kata dah benda batil tu zahuqa.

Surah al-Israa ayat 81
"Dan katakanlah: "Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap". Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap"

Apa fikir sewenang wenang dapat cuci maksiat lagha tu bila kita letak selit satu dua program agama?

Aneh

Dengan orang yang memakmurkan kebatilan ia berlemah lembut, lembik penakut tak berani nak bersuara tegas. Konon menjaga ukhuwah sesama manusia padahal orang yang beriman tu sepatutnya berlemah lembut dengan orang yang beriman dan bertegas dengan orang yang kufur

Baca lah Surah alFath ayat 29
"Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam) dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam)........... "

Tapi ni sikapnya dah terbalik!

Bila berdepan dengan orang beriman yang lainnya, yang berbeza aliran berbandingnya - syadid, keras, tegas, menghalang. Kononnya membawa arus yang sesat

Gila. Bukannya ia berbeza akidah. Bukan syiah, bukan menyeru Tuhan tu tiga.

Mendengar isi majlis itu saja tak pernah. Tapi bersangka sangka bahawa apa yang dibawa itu salah

Tepat sangatlah perangai buruk tu dengan Surah Yunus ayat 36

"Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan saja. Sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikitpun berguna untuk mencapai kebenaran. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan"

Bila diajak untuk mendengar apa isi yang disampaikan, untuk nilai sendiri sama ada benar atau salah - sombong pula memalingkan muka.

Surah Luqman ayat 7
"Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami dia berpaling dengan menyombongkan diri seolah-olah dia belum mendengarnya, seakan-akan ada sumbat di kedua telinganya; maka beri kabar gembiralah dia dengan azab yang pedih"

Kononnya tak mahu terpengaruh dengan 'dakyah' jamaah lain, sedangkan yang dibacakan itu adalah ayat Quran.

Kalau terpengaruh dengan ayat Quran saja tak mahu, habistu kita nak terpengaruh dengan siapa? Syaitan?

Surah azZukhruf ayat 36
"Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya"

Sering saja menuduh manhaj dan dakwah yang lainnya itu bercara salah. Padahal hadir ke majlis itu, mendengarkan apa yang disampaikan pun tak pernah ingin. Tapi sering menuduh kononnya bukan apa yang Rasulullah bawa, kononnya bukan manhaj yang sebenar, kononnya bukan manhaj yang paling diredhai, dan berdengki dengki bilamana lebih ramai orang bersama yang itu berbanding bersama yang ini

Pantang nampak orang mukmin lain ada lebih ramai pengikut, disabotajnya golongan tu, difitnah, dilabel, diburuk burukkan namanya, dihalang kerja dakwah, di-ban daripada beraktiviti di surau, dibawa aduan ke pihak atasan kononnya menyeleweng akidah orang

Atas dalil apa 'orang orang beriman' ini menghalang halang orang beriman yang lain dari wasilah mendekati Allah? Hanya asbab berbeza manhaj dakwah?

Atas dalil apa kedengkian ini dikuatkuasakan? Ke depan mari sebutkan ayatNya! Ke depan mari sebutkan hadisnya! Ke depan mari sebutkan fatwanya!

Maka benarlah bilamana disabdakan oleh Rasulullah SAW, dinukilkan keterangannya oleh Syaikhuna Fathi Yakan dalam Kitab Qawarib an-Najah fi Hayat ad-Duat

bahawasanya musuh orang yang beriman itu ada 5

1. Muslim yang mendengkinya
2. Munafiq yang membencinya
3. Kafir yang ingin memeranginya
4. Syaitan yang ingin menyesatkannya
5. Nafsu yang bertarung dengannya

Beruntunglah bilamana kita memiliki 5 musuh ini. Kerana hakikatnya maka benarlah, kita orang beriman

Khuatirnya ialah bilamana seorang itu merasakan beriman, rupa rupanya dia mukmin yang pendengki, musuh kepada orang beriman yang sebenar

Nauzubillah min dzalik

Jauhilah dari menghalang halang kebaikan

Kalau tidak mampu berbuat, jangan menghalang
Kalau tidak mampu berbuat, jangan mensabotaj

Salam aman.

Singa,
Nawal Zarzaie
Dari Barat Sarawak

Selasa, 27 Ogos 2019

Hanya Allah yang Memiliki Kita - Sirah Bilal bin Rabah

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Bilal bin Rabah

Merupakan seorang hamba kepada Umaiyah bin Khalaf al-Jumahiy.
Asal negaranya Habsyah. Bilal dibawa ke Makkah sebagai khadam, atau budak kepada Umaiyah.

Kalau kita nak komparatif dengan zaman ni, sepertinya Bilal itu macam orang luar negara misalnya, dibawa ke Malaysia untuk bekerja dengan orang Malaysia.

Tapi bezanya, mungkin kalau pekerja-pekerja asing kat Malaysia sekarang ni kan, bos dia misalnya kata 'you kerja je dengan saya, jadi penduduk sini tak payah balik negara you'.

So pekerja asing tu pun dia mohon jadi pemastautin tetap, dapatlah IC merah, kan?

So pekerja asing tu sekarang statusnya pemastautin, bukan warganegara.

Tapi kalau Bilal ni, statusnya bukan pakai IC. Hamba ni kan, dia macam barang. Hamba ni bukan 'manusia' (baca: manusia merdeka). Hamba ni kalau kita nak faham. macam kereta yang punya akal fikiran, atau mungkin kucing peliharaan yang ada surat kelahiran or lesen pemilikan tu kan.

Hilang lari pergi mana pun, pemiliknya Umaiyah, orang yang jumpa kena pulangkan, melainkan dah tukar nama kat geran dan sebagainya. Macam motosikal, kereta kita kan. Kita yang pegang geran tu, geran tu pemilik namanya kita.

So itulah 'kad pengenalan' diri Bilal ni, pakai geran. Dan pemilik geran Bilal ni Umaiyah bin Khalaf.

Jadi Bilal ni, hamba kepada Umaiyah. Konsepnya macam barang.

Ceritanya yang signifikan kita nak kongsi hari ni, ialah bilamana Bilal bin Rabah mendengar seruan tentang Islam, Bilal pun menerima ajaran Islam, mengakui bahawa tiada Tuhan selain daripada Allah yang Ahad, & Muhammad itu pula Rasul utusan Allah.

Uih, bila Umaiyah dengar je berita pasal hamba dia terima ajaran Islam, naik berang Umaiyah ni.

Cuba bayangkan, kalau seorang ayah yang sangat-sangat menentang ajaran Islam, tiba-tiba sampai ke pengetahuannya bahawasanya anak kandungnya memeluk Islam, itu pun sah-sah si ayah tadi berang, tak peliklah kalau nak ugut bunuh, larang solat, larang ke masjid dan sebagainya.

Itu anak kandung kut. Sayang macamana pun, boleh kena belasah oleh si ayah tu tak mustahil.

Inikan pulak cuma hamba, takda pertalian darah, takda apa. Hamba ni, kadang kalau tak ada buat salah apa pun, boleh kena pukul, apatah lagi kalau buat benda yang tuan dia tak suka, memang kena seksa la gamaknya.

Itulah yang ketika itu Umaiyah rasa.

Umaiyah waktu tu, apa yang dibuat, memang tak tercapai dek akal kita.

Cuba bayang kalau hari ini, misalnya kat Kuala Lumpur tu kan, ada seorang bangsawan kaya, ada reputasi,

patutnya kalau ikut logik kita - mestilah pandai, belajar luar negara, elit, bertamadun, akhlak bagus en.

Tapi sebaliknya, tanpa rasa segan silu boleh pulak orang kaya bangsawan tadi tu dia seksa orang gaji dia - cuma sebab tak ikut cakap dia.

Let's say contohnya yang kena seksa tu butler dia.
Maunya ditambat leher butler dia tu, pastu disuruh pulak orang suruhan dia yang lain, bodyguard-bodyguard dia yang lain seramai-ramainya disuruh untuk tarik pulak butler tu macam binatang.

Hello, pernah nampak tak orang tarik binatang macamana? Ada ke orang tarik binatang baik-baik? Manada!

Orang sekarang kita letak tali dekat beg anak, ikat tali kat tangan anak supaya tak hilang, itu pun ada orang dah kecoh cakap layan anak macam binatang la apa la.

Ni apatah lagi orang dewasa, sah-sah kena ikat kat leher macam binatang. Cuba lah bayangkan sendiri.

Maunya kalau terjadi sekarang, gempar satu dunia 'orang kaya KL menyeksa butler dengan mengikat lehernya dan ditarik macam binatang'.

Tak pasal-pasal masuk surat khabar kekal dalam sejarah selama 7 keturunan.

Samalah macam kisah penyeksaan Bilal ni. Kat buku buku sirah semuanya ada dicatat nama Umaiyah sebagai tuan yang zalim.

Dan itulah yang diperlakukan terhadap Bilal bin Rabah oleh Umaiyah. Lehernya diikat, diseret oleh sekumpulan hamba-hamba Umaiyah yang lainnya. Cuma sebab dia memilih untuk beriman.

Yep, Umaiyah bengang, sebab baginya hamba tiada hak memilih. Hamba tiada kebebasan untuk menentukan hidupnya. Bahkan hamba juga tak boleh memilih tuannya.

Macam barang yang kita beli. Kucing yang kita bela. Kita yang pilih untuk memiliki kereta & kucing, dan bukan sebaliknya (walaupun kucing tu boleh tak suka dengan kita).

Itulah konsep hamba, macam barang.

Tapi Bilal kerana dia faham, yang memiliki jiwanya cuma Tuhan, bukannya tuan. Sebab itu dia tahu, dia punya hak untuk memilih iman.

Sambung cerita tentang penyeksaan yang dilakukan oleh Umaiyah. Hamba-hamba Umaiyah yang lainnya disuruh untuk seret Bilal bin Rabah - dalam keadaan tali ditambat pada lehernya - duk keliling merata kampung, duk keliling bukit-bukit kat Makkah,

Macam seorang lelaki, dah ditambat pada leher, diheret pulak oleh sekumpulan lelaki, diheret ke sana kemari, keliling Batu Laut, keliling Kundang, keliling pulak Tanjong Sepat, tak cukup tu, dibawa pulak ke Jugra, naik turun bukit Jugra, keliling pulak satu lagi bukit. Orang Banting tahu la tempat-tempat ni kat mana.

Allahu. Itu Jugra tempat yang ada rumput, tanah lembut, tak kering, tak pulak berbatu batu.

Itupun, kalau kita nak bayang dari pagi ke tengahari ke petang diheretnya Bilal ni, seluruh penduduk nampak, tak dibagi makan, tak dibagi minum. Kesian sangat-sangat.

Apatah lagi, kalau kat Tanah Arab tu, lantainya pasir, batu-batu kering, berdebu, panas.

Bilal sehingga berparut lehernya kesan dari jerutan tali. Pernah tengok tak luka jerutan tu macamana? Boleh sesak nafas boleh mati tau.
Sumber gambar: Google. Ni contoh jerutan yang bawa maut

Itu baru babak satu penyeksaan Umaiyah terhadap Bilal. Ada banyak babak lain lagi yang diperlakukan.

Dah sudah dibawa diheret keliling kampung keliling bukit, tak menyempat luka jerutan kat leher nak baik, Umaiyah rentap pula tali di leher Bilal sekuat-kuat dan menghentamnya dengan tongkat.

Pernah tengok gangster bantai orang tak? Budak sekolah buli ke, yang pukul pukul tu. Kalau tak pernah, cubalah youtube ke apa.

Sumber Google. Wallahu a'lam bagaimana keadaan Bilal ketika itu

Itulah apa yang dibuat Umaiyah. Membantai orang yang memang takkan larat melawan. Orang yang lemah. Bukan pukul pakai penumbuk. Tapi guna blunt object siap.

Tak cukup puas hati si Umaiyah ni, dia dudukkan pulak Bilal di tengah panas matahari terik dan tak dibagi makanan.

"Kau, sebab kau percaya Tuhan tu cuma satu, kau percaya sangat dengan Muhammad tu, kau duduklah tengah panas ini jangan harap aku nak bagi makanan", macamtu la seumpamanya apa yang berlaku kepada Bilal

Kalau kita la, nauzu billah. Kita ni buat nakal pastu mak tak bagi balik rumah, dah nangis nangis taubat tanak buat dah.

Tapi Bilal ketika itu, masih teguh dalam keimanannya.

Dan kenapa Bilal ni, dah diseksa pun dia masih keras kepala tak sedar diri yang dia cuma hamba yang tak layak dan tak ada hak memilih jalan hidup?

Sekali lagi, kerana dia sedar yang jasadnya mungkin dimiliki Umaiyah.

Tapi tidak jiwanya. Jiwanya cuma dimiliki Tuhan, bukan tuan.

Berang Umaiyah, dasar hamba tak tahu diri kau bukan merdeka boleh pilih hidupmu sesuka hati.

Sudahnya, Umaiyah bawa pula Bilal ke padang pasir Makkah, waktu tengahari panas terik.

Kalau kita, tengahari panas terik, mesti kita nak duduk bawah bumbung, ber-aircond, berkipas, kalau takda orang tu, maunya kita pakai baju senipis yang mungkin.

Tak dan nak duduk dekat bawah matahari, mau pitam lepas 30 minit berjemur.

Ini Bilal ni, bukan setakat 30 minit dijemur.

Bukan takat dijemur tapi waktu tengahari.

Bukan takat tengahari tapi kat padang pasir

Dibaringkan Bilal atas padang pasir.

Diletak pula atas badannya batu yang besar.


Kita ni duduk dekat pantai, buka kasut pakai stokin pijak pasir pantai pun dah 'auch auch panas',

apatah lagi Bilal tanpa bajunya, beliau dibaringkan atas padang pasir. Bukan takat pijak, tapi dibaringkan kak.

Dan pernah tak rasa sakit dada macam kena hempap or macam kena 'crushed'? Macam orang kena serangan jantung tu kan.

Bolehlah buat simulasi sesama kawan kawan, cuba letak dumbbell 5kg, 10kg, 20kg atas dada.

Cukuplah 5kg, kalau dah diletak atas dada 30 minit, itu pun kita dah rasa beratnya, sakitnya.

Tak percaya, cubalah. Guna tepung 5 paket, rasa apa yang Bilal radiyallahu anhu rasakan. Itupun tepung tu lembut je paketnya. Bukannya keras macam batu pun.

Ketika diletakkan batu besar atas dada Bilal tu, Umaiyah bin Khalaf berkata
"Aku tidak akan angkat ketulan batu ini, kecuali setelah kau mati"
"atau kau kufur dengan
agama Muhammad"
"dan kau harus kembali menyembah al-Lata dan al-Uzza"

Bilal ketika itu, lehernya penuh dengan luka luka jerutan. Badannya berbirat, lebam, atau mungkin berdarah kerana dipukul dengan tongkat.

Seluruh sendi dan kulitnya melecet, calar balar kerana diheret ke sana ke mari.

Kulitnya dan seluruh badannya panas dibaringkan di padang pasir dan dijemur pula di bawah mentari.

Dadanya sesak ditindih batu batu besar.

Rusuknya hampir patah, nafasnya semput kerana organ jantung dan salur pernafasan turut tertindih dek batu tersebut.

Dalam keadaan suaranya tersekat sekat, nafasnya pendek pendek, Bilal tetap sahaja dengan zikirnya, hanya beliau berharap padaNya,

"Ahad...!"

"Ahad....!"

Yang Esa...! Yang Esa..!



Kita tak pernah tahu sebelum ini, kenapa ucapan Bilal cuma satu patah kata, cuma 'Ahad', tapi rupanya ketika itu sebenarnya nafasnya hampir tiada.

Tak percaya? Buatlah simulasi tindih tepung 5kg


Dan tengah tengah Umaiyah syok tindihkan batu atas dada Bilal, tiba tiba dengan kehendak Allah waktu tu, Abu Bakr lalu di situ sambil Bilal dengan keadaannya yang terbaring.

Abu Bakr yang merupakan seorang hartawan, dipendekkan cerita, pun membeli Bilal daripada Umaiyah. Dibayar kepada Umaiyah suatu harga yang senilai dengan hamba yang lain, atau dengan nilainya 5 perak. Semuanya dengan kehendak Allah.

Kemudiannya Abu Bakr membebaskan pula Bilal. Jadilah Bilal bin Rabah kini seorang manusia yang merdeka, semata hamba kepada Allah.

Jiwanya telah bebas dari cengkaman manusia semenjak beliau masih lagi hamba, dan kini telah bebas pula jasadnya.

.

Dan bagaimana pula dengan kita?


Hari ini, kita bukan hamba kepada sesiapa. Bukan kita dimiliki ibu kita. Bukan kita dimiliki ayah kita. Bukan kita dimiliki abang kakak kita.

Bukan kita dimiliki cikgu kita. Bukan kita dipunyai bos. Bukan dipunyai kawan kita. Bukan kita dimiliki kekasih suami isteri anak anak kita.

Kita bukan milik sesiapa. Tapi 'inna Lillaah'.

Kita ini dimiliki, dipunyai, kepunyaan Allah Subhanahu wa Taala.

Jiwa kita, jasad kita, nyawa kita, hidup mati kita, masa kita, anggota kita.

Semuanya Allah yang punya. Maka Allah lah yang berhak ke atas kita.

Kita ni walaupun kita ada IC, tapi kita juga ada geran diri.

Dan geran tu, pemilikannya adalah atas satu sahaja penama - Allah.

Kita ni umpama kereta yang ada geran. Dan pada geran itu pemiliknya ialah Tuhan.

Hanya Allah yang Memiliki Kita

Hakikat ini, ramai yang tahu, tapi siapa je yang faham?

Siapa yang faham sepertimana Bilal bin Rabah faham, sehingga beliau tidak kisah diseksa macamana sekalipun, asalkan jiwanya tetap diserahkan kepada Allah, bukan kepada Latta dan Uzza, bukan menunduk pada Umaiyah.

Kita sepatutnya faham, jiwa dan jalan hidup kita, yang punya hak untuk menentukannya cuma Allah. Bukan orang lain, bahkan bukan kita.

Mus'ab bin Umair bilamana seruan iman sampai kepadanya, beliau tak boleh nak peduli sama ada ibunya bersetuju dengan tindakannya atau tidak. Sebab ibunya tidak punya hak atas jiwanya.

Allah yang memiliki Mus'ab dan Allah lah yang mempunyai hak ke atasnya. Apa yang Allah suruh, itulah yang harus dibuat.

Mus'ab terpaksa membiarkan ibunya mogok lapar, kerana ibunya menyuruh Mus'ab meninggalkan Islam.

Dan itu tindakan yang benar. Walaupun natijahnya hubungan Mus'ab dan ibunya merenggang.

Tukang Sihir Firaun bilamana telah yakin mereka dengan seruan iman dari Nabi Musa, mereka tak boleh peduli sama ada Firaun beri izin atau tidak, dan sah-sah Firaun tak beri izin untuk mereka beriman (Surah 7:123)

Tapi, mereka tak peduli. Mereka tetap beriman, sampaikan Firaun ugut untuk kerat, amputate tangan dan kaki mereka secara bersilang, lepastu disalib pulak semuanya (Surah 7:124).

Tukang Sihir tetap pilih untuk beriman. Mereka faham, bahawa Allah lebih berhak untuk diimani, tak kiralah apapun yang jadi.

Dan itu tindakan yang benar, walaupun natijahnya kematian di tangan Firaun.

Kita hari ni, kita pilih untuk beriman. Kita pilih seruan iman. Kita pilih untuk terlibat secara langsung dalam tarbiyah. Kita pilih untuk secara langsung menjalankan kerja kerja dakwah, kerja kerja menyebarkan sinar iman ke seluruh pelosok dunia.

Lantakkan orang lain nak cakap apa. Kita tetap terus.

Dan itu tindakan yang benar. Walaupun hubungan kita dengan manusia yang lainnya merenggang kerana berbeza pemikiran dan jalan hidup.

Sebab orang-orang yang bercakap, orang yang menghalang itu, mereka tidak memiliki kita. Bahkan yang memiliki dia dan kita hanyalah Allah.

Misal nak pergi daurah tapi mak ayah tak izinkan contohnya, fahamilah - sebenarnya hak memberi izin itu tidak berada pun di tangan mereka.

Sebab yang memiliki diri kita ialah Allah. Allah yang ada hak terhadap kita, keputusan kita, jalan hidup kita. Bukan makhluk mana-mana pun.

Boleh jadi mak ayah, bos, cikgu, abang kakak, suami isteri itu macam 'bos' kita,

Tapi Allah ialah 'Bos Besar' kita.

Kalau bos besar kata pergi, bos kecik kata mari, kita still kena pergi, ikut cakap bos besar. Macamtu la gamaknya

Bos besar kata 'Dakwah tu wajib sentiasa'. Bos kecik kata 'Dakwah bila masa lapang'

Rasa-rasa nak ikut yang mana?

Haih kalau kita ni ikut bos kecik, buat dakwah bila masa lapang je, lepastu tiba tiba kantoi pulak dengan bos besar, bukan setakat kite je kena, dengan bos kecik tadi tu sekali kena soal siasat

Yang lagi seramnya, 'Bos Besar' tu soal siasat kat akhirat nauzu billah T_T.

Jangan lupa pulak, 'Bos Besar' tu, CCTV 24/7. Dia Tahu bila kita mengelat T_T

Jadi beringatlah. Muhasabahlah sesama kita.

Ingatlah, yang memiliki kita ni hanya sanya cuma Allah je. Bukan orang lain.

Merdekalah dari cengkaman dan naungan makhluk yang fana.

Berteduhlah dan ikatlah jiwa dengan Dia yang Memiliki Kita.

Allahu a'lam.


Salam Kemerdekaan,
Dari Barat Sarawak

Khuwaidimatul Quran wal 'Ulum Zarrah
Ukhtukum Fillah
Nawal Zarzaie
Tahun 4, Doktor Perubatan, UNIMAS.

Selasa, 20 Ogos 2019

Puisi - Lelaki Itu

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt


Lelaki itu
Sendirian
Melutut di tengah lautan – perempuan

Badannya makin membongkok
Tertunduk-tunduk
Menahan sedu sedan
Dah terlalu lama ditangiskan

Lelaki gagah itu
Teresak seakan anak-anak
Merintih melaung teriak
Malangnya tiada yang ambil tindak

Sampai ke sudah
Tak larat lalu terkulai lemah
Menyungkur muka dia ke bawah
Tangis perlahannya terus
Badan pula pun makin kurus
Gila dia dah tak terurus
Pintanya cuma satu
Selubunglah perempuan dalam kainmu
- Tak kesampailah

Lelaki itu
Sungkurnya tiada ganti
Tiada yang perasankan sang pemergi
Tiada terasa di tapak kaki
Seandai ada melangkah jasadnya

Rebahlah
Di tengah lautan perempuan
Hancur tanpa kuburan dan kesan

Lelaki itu
16 September 2016


Salam dari Barat Sarawak

Khuwaidimatul Quran wal Ulum Zarrah
Ukhtukum Fillah
Nawal Zarzaie
Tahun 4, Perubatan, UNIMAS.

Puisi - Perempuan

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt


'Perempuan'
16 September 2016
UNIMAS Kolej Cempaka K10B


Perempuan
Selagi namanya perempuan
Fitnahlah dia selamanya akan
Setua manapun tetap menawan
Atas bawah kiri kanan
Sisi belakang sampai ke depan
Setiap sudut dan tiap ukuran
Takkan dilepas dari pandangan

Semuanya mampu meluruh iman

Perempuan
Letakmu bukan di tengah
Jadi perhatian untuk dijamah
Bukan kau hentian tempat beramah
Bukan engkau sampai ke sudah

Maruah dan dirimu – letakkan
Di tingkat yang Ilah sudah berikan
Sebelum Dia meruntuh jalan



Salam dari Barat Sarawak

Khuwaidimatul Quran wal Ulum Zarrah
Ukhtukum Fillah
Nawal Zarzaie
Tahun 4, Perubatan, UNIMAS.

Puisi - Senandung Takbir Raya

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt


"Senandung Takbir Raya"
11 September 2016
UNIMAS Dewan Mutiara Bangunan HEPA
Ditulis ketika Malam Hari Raya Aidiladha, dalam Majlis Buddy Night
Dicarik oleh jari terkilan, merentakkan melankolik pada bait puisi


Takbir raya
Disenandungkan
Tidak bergema
Tidak lepas dari membran jiwa
Terus bersemadi
Mungkin kesekian kalinya

Takbir
Dinyanyi tanpa rasa
Betapa besar, agungnya Dia
Seakan memandang setara
Atau kecil tak terperasan

Hidupku dalam kehidupan
Yang kian matilah iman

Benar sukar mengasing rasa
Anasir dekatnya lekat di muka
Cuma memohon daripadaNya
Kekuatan terus hanya kupinta


Salam dari Barat Sarawak

Khuwaidimatul Quran wal Ulum Zarrah
Ukhtukum Fillah
Nawal Zarzaie
Tahun 4, Perubatan, UNIMAS.

Puisi - Kontradik 2

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt


Kontradik
Dalam dua yang pisahnya
Cuma benang tangsi
Halusnya nipis roma
Sedang seharusnya
Biar selebar tembok China
Tebal Konstantin gamaknya

Berdiri duduk di tengah-tengah
Sesekali ke kanan

Acapkali tanah juga melandai
Atau mencerun
Seringkalinya ke kiri

Atau daya dari kanan menolak
Yang kiri menarik
Dan iya, natijahnya kiri

Selagi nafsu belum mutmainnah
Pemisah tangsi tak bakal diganti

Doalah
Agar segera dibina penghalang lebar
Berbatu simen darah temulang


Kontradik (2)
20 Ogos 2019


Salam dari Barat Sarawak

Khuwaidimatul Quran wal Ulum Zarrah
Ukhtukum Fillah
Nawal Zarzaie
Tahun 4, Perubatan, UNIMAS.

Puisi - Kontradik 1

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt


Kontradik
Dalam dua yang pisahnya
Cuma benang tangsi
Halusnya nipis roma
Sedang seharusnya
Biar selebar tembok China
Tebal Konstantin gamaknya

Aku terkesima
Keliru
Terduduk bertindih dilema
Dalam pandai memain kata
Rupanya hanya tipu bicara
Hipotesis mentah
Dari akal terarah

Bermalasan aku teleku pula
Biarlah

Kontradik (1)
2015


Salam dari Barat Sarawak

Khuwaidimatul Quran wal Ulum Zarrah
Ukhtukum Fillah
Nawal Zarzaie
Tahun 4, Perubatan, UNIMAS.

Puisi - Misteri

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt


Sepasang kaki
Selalu sendiri
Ke mana pun pergi
Cuma satu kanan dan satu kiri

Pemilik sepatu bertapak rata
Getah paling kuat cengkaman
Bukan tak punya kawan
Tapi tahu tiada gerangan
Yang sanggup turut lalui jalan
Yang rela meredah tanpa payungan
Segala gelita malam & hujan

Tiada yang pernah sanggup menerus
Menjelajah jauh bersimpang siur
Perhentian tanpa meneguk liur
Henti hanya untuk menghulur
Penuhi naluri seorang doktor
Yang takkan pula makin meluntur

Kepenatan
Keringat pun bersandar dibelakang badan
Tak larat mahu turun ke bumi
Biar selamanya kekal semadi
Rapat ke sosok kerdil melidi
Menjadilah saksi ketika nanti

Semoga Allah meredhai segala

'Misteri'
20 September 2016



Salam dari Barat Sarawak

Khuwaidimatul Quran wal Ulum Zarrah
Ukhtukum Fillah
Nawal Zarzaie
Tahun 4, Perubatan, UNIMAS.

Puisi - Menanti Terbit Kalimat Baharu

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

"Menanti terbit kalimat baharu"
2015

Malam gelita
Ada kelopak yang tertutup
Ada yang terbuka

Ada kelopak ditutup buka
Setia menjadi denai alir mutiara

Ada wajah disembam
Ke bantal ke tilam
Membasahinya sepanjang malam

Ada wajah disembam
Ke hamparan bersulam
Dengan esakan yang tenggelam 
Namun harapannya menjulang

Malam gelita 
Ada manusia dilena
Ada terlena
Ada melena
Ada terpana

Ada yang menangis
Ditinggal kekasihnya;
Ada
Merayu kasihnya;
Ada yang menangis
Berdosa 
Meninggalkan Pengasihnya

Dunia 
Penuh kecintaan yang meleka
Ungkap kalimat 'cinta' dikotori
Padahal ia suci murni

Akhirnya kalimat 'cinta' tak lagi suci
Untuk berganding dengan Ilahi



Salam dari Barat Sarawak

Khuwaidimatul Quran wal Ulum Zarrah
Ukhtukum Fillah
Nawal Zarzaie
Tahun 4, Perubatan, UNIMAS.


Puisi - Kerana Aku Mengerti

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

ketika mengambil keputusan dan nekad untuk meneruskan pengajian di peringkat universiti dalam bidang kedoktoran
Demi memenuhi kehendak ibunda


Dalam telah aku menyelam
Tapi renang kaki makin henti
Nada seakan makin sepi
Walau sepatutnya ada irama yang teralun

Ke mana hilangnya nyanyian ombak
Tercari masih lambai ekor duyung
Mengapa dunia makin suram
Atau mata yang makin kelam?
Aku berhenti, sejenak teringat usul diri
Dalam pandangan yang makin kabur

Mungkin aku harus berhenti
Kembali bertapak pada bumi
Bukan pada karang mati
Bukan lagun jerlus pemakan kaki

Kembali ke bumi
Mengejar cita gapai mentari
Yang ibu kehendaki
Demi mencicip cangkir bahagia
Bersamanya

Kerana aku mengerti



Kerana Aku Mengerti
15 Oktober 2015

Penulis
Dari Barat Sarawak
Nawal Zarzaie 
Tahun 4, Perubatan, UNIMAS. 

Ahad, 18 Ogos 2019

Puisi - Diam Pujangga Muda

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt


Ditulis dengan niat menyindir sebahagian kelompok orang lingkungan umur dewasa yang mengatakan

"orang muda dah besar patut retilah beza baik buruk"

tapi dalam masa yang sama menafikan suara orang muda dalam hal yg baik2 dengan mengatakan

"orang muda apa tau, baru setahun jagung tak payah nak berlagak"

...................

Sehelai kain putih
Menagih corak untuk dicoret
Si berus pengalaman runcing
Biar serabut matanya

Sehelai kain putih
Hanya terbentang diam
Rela ditiup angin
Menapis warna yang turut terbang
Menyerap segala coret yang datang

Diam sahaja kain itu
Tidak mahu terbang sendiri
Tidak mahu sendiri mencari
Hanya menanti
Hanya perhati
Ada percik warna muncul sendiri

Sehelai kain putih
Diwarna percik-percik
Dari jauh terlihat jernih
Walhal padanya
Terselindung seribu warna 
Bertindihan sesama

Diam Pujangga Muda
SAMTTAR 10.2.2015



Salam dari Barat Sarawak

Khuwaidimatul Quran wal Ulum Zarrah
Ukhtukum Fillah
Nawal Zarzaie
Tahun 4, Perubatan, UNIMAS.

Puisi - Indah Gelisah

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt.


Maha suci Tuhan
Yang Mencipta Kegelisahan

Minda yang jahil
Tidak tahu segala
Namun terus bisa 
Mengenal dosa pahala

Keagungan Tuhan
Mendetik aman
Tika laku kebaikan
Campak pula keresahan
Pada pelaku kemaksiatan
Tanpa perlukan minda
Hanya perlukan rasa
Hanya perlukan iman

Duhai 
Bersyukurlah jjiwa
Andai masih dirasa
Kegelisahan dalam dosa

"Indah Gelisah"
10 Februari 2015


Salam dari Barat Sarawak

Khuwaidimatul Quran wal Ulum Zarrah
Ukhtukum Fillah
Nawal Zarzaie
Tahun 4, Perubatan, UNIMAS.

Puisi - Haiwan Mukallaf

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt


Hidup macam haiwan
Tahu cuma makan
Bersungguh bergelut
Cuma untuk isi perut

Hidup macam haiwan
Tak kenal kawan jiran
Walau sampai mati
Tak teringat nak berbakti

Hidup macam haiwan
Sangat membosankan
Ada tiada tak beza
Tak dikenang sesiapa

Saat dibangkitkan
Berhadapan Tuhan
Sumbang apa untuk agama
Jawab sendiri bila ditanya

"Haiwan Mukallaf"
10 Februari 2015


Salam dari Barat Sarawak

Khuwaidimatul Quran wal Ulum Zarrah
Ukhtukum Fillah
Nawal Zarzaie
Tahun 4, Perubatan, UNIMAS.

Bagaimana Daie Bersikap - Sirah Tufail bin Amru Ad-Dausi

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt.

Tufail bin Amru ad-Dausi.

Merupakan seorang lelaki yang dimuliakan orang kaumnya,
Beliau adalah ketua Qabilah Daus, suatu qabilah di Yaman.

Qabilah Daus ni bukan qabilah main-main, bukan kecil-kecil punya qabilah, bahkan Qabilah Daus ni, punyai kuasa autonomi di beberapa daerah di Yaman.

Macam misalnya kalau di Yaman tu ada 10 daerah bersultan, 4 atau 5 mungkin sultannya orang Daus, pembesarnya orang Daus. Dan Tufail pulak Agong mereka. Lebih kurang macam tu la.

Selain dari tu, Tufail juga merupakan penyair yang handal. Handal sangat-sangat sampai tersebar kehandalannya, bahkan sampai hari ini pun kita masih tahu yang Tufail ni handal bersyair, tercatat dalam sejarah.

Kalau nak dinisbahkan dengan zaman kita, mungkin macam Seniman Lagenda P. Ramlee, atau Sasterawan Negara A. Samad Said.

Bukan setakat pemimpin, tapi bijak pandai juga. Kepemimpinannya disegani, dan kehandalan syairnya dikagumi.

Kisahnya Tufail ni menarik kita nak cerita adalah yang berlaku pada Tahun ke-11 kenabian Rasul SAW.

Ha! Ada yang nak u turn ke tu sebab malas nak baca?

Ok so Tufail bin Amru ni, beliau ada datang ke Makkah. Kedatangannya dialu alukan, disambut dengan penuh rasa hormat dan bangga. Penduduk Makkah dapat jumpa 'Agong', excited la kan. Macam kita jumpa sultan atau permaisuri dari mana-mana negeri. Begitulah keadaan penduduk Makkah waktu tu.

Dalam pada penduduk Makkah tu sambut Tufail sebagai tetamu mereka, mereka tak henti henti sebarkan keburukan pada suatu sosok dipanggil 'Muhammad'.

Sambut tetamu, sambut juga; Dakyah tetap jalan. Macam tu la sikap orang Makkah yang tidak beriman ketika itu, prinsip mereka tak pernah lupa.

Malunya kita kan. Kita ni bila dah start buat bisnes, sambung belajar, buat program dan sebagainya, mulalah lupa tujuan dan prinsip sebenar. Menyerong niat buat sebab kepentingan diri - populariti, duit dan sebagainya. Tak niat untuk dakwah dah.

Orang Makkah ni, dakyah mereka, mereka cakap kat Tufail

"Wahai Tufail, kini kau telah memijak bumi kami, jadi kami nak warning kau mengenai seorang lelaki"

"Dia telah tampil ke hadapan, menimbulkan permasalahan yang berat di kalangan kami,"

"Dia ni telah pecahbelahkan perpaduan antara kami, memporakperandakan hidup kami,"

"cakapannya itu seperti hembusan sihir - menceraikan bapa dari anaknya, di antara seseorang dengan kawannya, di antara suami dengan isterinya,"

"dan kami khuatir kelak akan terjadi kepada kamu seperti apa yang berlaku di kalangan kami,"

"oleh itu jangan kau berbicara dengannya"

Dahsyat kan cubaan penduduk Makkah nak dakyahi Tufail ni. Maklumlah, orang besar kut.

Macam kita, mestilah kita kalau boleh nak 'hasut' orang orang yang ada pengaruh dan kuasa ni untuk support dakwah kita, support kerja kita, support kita, sebab tu kita buat CRM contohnya.
P/s: sebab tu kene buat CRM

Tapi ceritanya penduduk Makkah ni, mereka ni sepanjang Tufail berada kat Makkah, itu je yang mereka katakan padanya, 'jangan bicara dengan Muhammad, jangan dekati dia, nanti kena sihirnya'

Sampaikan Tufail akhirnya terpaksa sumbat telinganya bila nak pergi ke masjid (Masjidil Haram), sebab hari hari setiap masa asyik cerita tu je.

Kalau kita pun, kita muak la kan, stress, fed up, like 'Yes shut up please for the millionth time, I knew it already'.

Tapi jangan macam tu ye perangainya. Kalau kita dah buat kesalahan berulang, memanglah perlu ditegur sampai berubah. Kalau dinasihati, jangan suruh orang yang nasihat tu diam pula

Tapi takdir Allah, satu pagi Tufail ni pergi masjid. Sampai kat perkarangan masjid, beliau nampak Rasulullah SAW sedang berdiri di sisi Kaabah, sedang solat ketika itu.

Tufail pun merapat, dan dia dapat mendengar apa yang Rasulullah SAW bacakan daripada ayat ayat yang pada dapatannya ketika itu sangat indah, sangat baik.

Sampaikan terdetik dalam hati Tufail

"apakah aku takut mendengar kata-kata Muhammad ini, sekiranya elok aku terima dan sekiranya buruk ku tolak"

End up Tufail akhirnya ikut Rasulullah SAW, masuk ke rumah baginda dan meminta untuk diceritakan kepadanya tentang ajaran yang dibawa. Serta merta Tufail memeluk Islam.

Beliau tak ragu ragu dan berpegang pada prinsip sendiri - "jika elok aku terima, jika buruk aku tolak" - walaupun boleh jadi yang baik itu bercanggah dengan kehendak nafsunya.

Same goes to us then. Kadang kala hidayah ni, untuk menerima teguran, nasihat, masukan, untuk berbuat dan sebagainya, biar akal yang pimpin hati, sebab selagi hati ni belum memiliki nafsul mutmainnah, selalunya dia cenderung untuk buat benda yang tak betul.

Bak kata Najwa Latif - otak kata 'jangan', hati pula kata 'ya'

Kemudian Tufail pun ingin kembali kepada kaumnya Qabilah Daus dan ingin pula menyebarkan apa yang didapati daripada ajaran Rasulullah

Lalu beliau pun meminta agar dikurniakan suatu tanda, agar kaumnya mempercayainya.

Rasulullah berdoa, agar cahaya memancar dari kepalanya. Tetapi Tufail menolak kerana khuatir akan dikatakan terkena akibat balasan perbuatannya menukar agama. Lalu beliau meminta cahayanya agar memancar dari tongkatnya.

Cahaya dari tongkat Tufail ni, adalah terang benderang seperti sinaran matahari siang.

Apabila Tufail mendatangi kaumnya pada waktu gelap malam, jadi terang benderang tempat itu dengan cahaya dari tongkatnya, seakan-akan hari sudah kembali siang.

Tengok tu. Pangkat Agong pun, popular, berpengaruh, ada kuasa, kaya, tapi still nak mendakwahi family dan rakyatnya, still kene ada something yang extraordinary agar kaumnya mempercayainya

Sama dengan kita. Asalkan ada sikit extraordinary, berbeza dengan diri kita yang dulu, orang akan lebih cenderung untuk mendengar dakwah kita, kerana terdapatnya perubahan dalam diri kita.

Pilihlah, nak bermula dengan jadi apa. Kalau harini kita dah kaya, bisnes masyuk, jangan rasa cukup, perlunya kayalah lagi dan tambahkan populariti pulak, misalnya

Kalau harini kita asnaf, mungkin boleh bermula dengan perbaiki status ekonomi, berbisnes, kemudian berinjak pula kepada pengaruh dan seterusnya

Kalau harini kaya sudah, popular sudah, masuk berita sudah, pengaruh sudah, tapi bercakap orang tanak dengar sebab tak convincing. Kalau dalam kisah Tufail ni, beliau penyair. Bahkan Rasulullah juga kata katanya hikmah, indah. Maka perbaiki pula skill bercakap dan seterusnya

Dan berikut adalah senarai ibrah yang penulis dapat senaraikan

1. Jangan berlebihan dalam satu cara eg. asyik menyindir/slow talk sahaja dalam halaqah/pengisian. Agar orang yang mendengar tak jemu dan tak muak

2. Ke mana pun kita bergerak dan berbuat, sentiasa ingat - tujuan utamanya adalah untuk redha Allah dan dakwah

3. Beri kefahaman. Jangan doktrin. Bagitahu kenapa jangan buat, kenapa kena buat pengarahan etc, bagitau dan fahamkan kekhuatiran & tujuan kita

4. Pentingnya mempengaruhi orang orang yang mempunyai pengaruh di sisi manusia. Libatkan orang orang yang berpengaruh, dipercayai dan popular dalam program dakwah kita eg. Raihan, Mufti

5. Jadilah orang-orang yang sukakan nasihat. Jangan seperti surah 7:79. Kaum Nabi yang terdahulu apabila telah terkena bala, Nabi mereka mengatakan 'aku telah memberi nasihat, tetapi kamu semua tidak suka orang yang memberi nasihat'. So kalau kita ni benci orang yang bagi nasihat, kata savage la tak jaga hati la, haaa serupalah tu perangai dengan kaum yang dimusnahkan Allah, wal iyadz billah

6. Jadilah bijak dalam menapis 'nasihat', terutamanya 'nasihat' yang datangnya daripada musuh yang dia melihat kita, dan kita pula tak nampak dia ie. syaitan - Sesungguhnya syaitan tu musuh yang nyata terang lagi bersuluh konon konon 'sumpah aku ini orang yang menasihati kamu' surah 7:21. Jangan tertipu

7. Berstrategi dalam dakwah. Kenali sasaran mad'u dan sesuaikan skil serta cara penyampaian dan lain-lain eg. student sekolah-lain, orang bisnes-lain, orang menteri lain pula
8. Adakan suatu pada diri kita yang super extraordinary, menjadikan kita timbul di tengah manusia, berbeza dari yang lainnya - akademik, ekonomi, virality, dakwah etc

Allahu a'lam

Dari Barat Sarawak

Khuwaidimatul Quran wal 'Ulum Zarrah
Ukhtukum Fillah
Nawal Zarzaie
Tahun 4, Doktor Perubatan, UNIMAS.